Pages

Thursday, November 7, 2013

Tahun baru, semangat baru!


Alhamdulillah walhamdulillah,

atas nikmat kurniaannya dapat lagi kita mengecapi nikmat memasuki tahun baru maal hijrah 1435H. Ini bermakna kita telah meninggalkan tahun 1434H dan memasuki tahun baru. Semoga Allah mengampunkan semua dosa-dosa dan maksiat yang telah kita lakukan pada tahun yang lalu dan semoga tahun baru ini, tahun baru, semangat baru, azam baru dan diharapnya tahun ini lebih baik dari tahun yang lepas dan tahun hadapan lebih baik dari tahun ini dan seterusnya.

Untuk pengetahuan,  kalendar islam mula diperkenalkan pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab, atas saranan Saidina Ali Abi Thalib. Walaupun idea perlaksanaan tahun hijrah ini telah timbul ketika zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar. kerana didapati ketika itu umat islam masih menggunakan tahun gajah dan sebagainya.


Kelebihan Bulan Muharam

Allah berfirman, 

”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)

Nabi saw. bersabda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679) 

Bulan Muharam merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram, di mana bulan haram antara bulan yang dimuliakan oleh Allah. Allah melarang keras pertumpahan darah pada bulan ini. Beribadah pada bulan haram pahalanya dilipat gandakan dan bermaksiat di bulan ini dosanya juga dilipat gandakan. 

Maka janganlah kamu menzalimi diri sendiri. Zalim dalam erti kata yang sangat luas adalah, meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Jika hak badan kita untuk sihat, maka kita harus makan makanan yg berkhasiat, bersukan untuk menjaga hak badan.

Jika hak rohani untuk mendapat makanan hati, maka kita perlu menambah ibadah supaya kelazatan beribadah itu dapat dirasai hati.

Jika akal mempunyai hak untuk menuntut ilmu, maka janganlah kita serik untuk menimba ilmu sebaik-baiknya.

Jika hak aurat itu untuk ditutupi, maka seharusnya kita tidak berdalih untuk menutup apa yang perlu ditutup, bukanlah aurat itu ditutup kerana fesyen, segan, malu dan sebagainya, tetapi aurat itu perlu ditutup kerana haknya perlu dijaga dan hak kita sebagai hamba Allah, perlu mengikut suruhan Allah.



10 Muharam, Hari Asyura

Pada 10 Muharam,  Allah menyelamatkan nabi Musa as dan Bani Israil dari dikejar Firaun. Maka, Nabi Musa memuliakannya dengan berpuasa, sebagai kesyukuran atas pertolongan Allah.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا يَعْنِي عَاشُورَاءَ 
فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ وَهُوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ 
فَقَالَ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Dari Ibnu Abbas RA, bahwa nabi saw. ketika datang ke Madinah, mendapatkan orang Yahudi berpuasa satu hari, yaitu ‘Asyuraa (10 Muharram).
 Mereka berkata,“ Ini adalah hari yang agung yaitu hari Allah menyelamatkan Musa dan menenggelamkan keluarga Firaun. 
Maka Nabi Musa as berpuasa sebagai bukti syukur kepada Allah.
 Rasul saw. berkata, “Saya lebih berhak mengikuti  Musa as. dari mereka.”  
Maka beliau berpuasa dan memerintahkan (umatnya) untuk berpuasa” (HR Bukhari).

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Tahun baru, azam baru

Kebelakangan ini, saya selalu mendapat khabar gugurnya beberapa orang pemuda al-akh yang setia di atas jalan dakwah dan tarbiah ini. Antaranya ialah kematian akhi Iman, dan yang terakhir ini kematian akhi Ammardi Turki. Walaupun mereka baru sahaja berada di usia muda, tetapi ternyata Allah lebih menyayangi mereka. Sungguh, saya kagum dengan pemergian mereka yang mampu menghidupkan hati-hati manusia. 

Ternyata banyak hati-hati yang terketuk dan tersentuh dengan pemergian mereka, walaupun sebenarnya saya tidak pernah bertemu mata dengan mereka, tapi cerita-cerita yang baik sahaja kedengaran keluar dari mulut sahabat-sahabat yang mengenali mereka.

Muhasabah diri sendiri, adakah jika ditakdirkan aku mati sekarang, dapatkan kematian aku memberikan sesuatu kepada ummah? Adakah jika aku akan mati esok, amalan aku sudah melayakkan aku untuk mengecapi nikmat syurga firdausinya?

T_____T

Saya ingin mengajak semua pembaca, untuk melihat semula dan memuhasabahi:
- Apakah amalan kita selama ini sudah mencukupi?
- Apakah azam baru yang ingin kita laksanakan bersempena tahun baru ini?
- Adakah kita sudah berpuas hati dengan kejayaan kita hari ini? Maksud saya, adakah kejayaan kita hari ini akan memberi keuntungan kepada ummah?

atau... Adakah tahun baru tidak membawa apa-apa erti dalam hidup anda? =.=


Semangat pemuda

Sayang seribu kali sayang jika anda tidak menjadikan tahun baru ini sebagai batu loncatan untuk memperbaiki kehidupan kita selama ini. Tahun baru sepatutnya disertakan dengan azam baru dan tajdid niat baru. Mari kita ambil semangat pemuda al-kahfi. 

Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)


Siapakah itu Fityah?

Fityah yang merujuk kepada ayat diatas, adalah pemuda-pemuda yang memiliki hammasah (semangat) yang tinggi dan mempunyai keimanan yang jitu.

Walaupun PBB telah mendefinasikan pemuda atau Belia ialah mereka yang berada dalam lingkungan 15-24 tahun, tetapi Hassan Al-Banna mendefinasikan pemuda adalah mereka yang memiliki keempat-empat rukun berikut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Sejujurnya, saya lebih bersetuju dengan definasi yang dibawa oleh Hassan Al-Banna, kerana sejujurnya saya selalu menemui pakcik makcik yang sudah berumur 40 tahun ke atas tetapi memiliki hammasah yang sangat tinggi mengalahkan saya yang 'belia' ni..

Suka ingin saya kongsikan beberapa petikan daripada risalah Wahai Pemuda, yang menyentap sanubari saya ketika membacanya.

"asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambah berat.

Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.

Ada pemuda yang lahir serta membesar  di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak"

T___________T

* Ahh. terasa macam kene lempang laju-laju sebab nak mengaku PEMUDA pun tak layak sebab rasa semangat juang ni dah longlai.



Lihatlah manifestasi semangat pemuda, di mana tak mugkin ssuatu revolusi dapat dilaksanakan tanpa semangat daripada pemuda2 yg ikhlas


Maka, mari kita ambil semangat pemuda ini. Bangkitlah wahai pemuda Islam sekalian!

Manfaatkan masa mudamu sebaiknya, kerana kelak di akhirat, Allah akan menanyakan

 " Masa mudamu, ke manakah kamu habiskan??"

Malu la kalau kita nak cakap,

" Aku buzy mengejar kemahsyuran dunia Ya Allah!!" * Face palm*

Juga jangan lupa terus mendoakan saudara seislam kita di Mesir, Syria dan Palestine. 



Salam maal hijrah 1435H dari saya. Yok! Mari kita semua berHIJRAH ke arah yang lebih baik!!

p/s: Sori saya dapat rasakan penulisan saya semakin kurang bermutu. pensil sudah tumpul mungkin :(  Mohon doa dari semua untuk exam saya yang bakal berakhir hujung november nanti.


MHZ,
Road to Ustaziatul Alam,
3 Muharam 1435H.

beyt SQ,
9.00pm
6 Nov 2013