Pages

Tuesday, June 10, 2014

Banyaknya jalan merebut pahala!



HADIS 26

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: 
Rasulullah SAW telah bersabda: 

"Setiap ruas (anggota) badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; engkau berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah, engkau membantu seseorang naik kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang engkau hayunkan kaki pergi sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di jalanraya adalah sedekah."

(Riwayat al-Bukhari no.2827 dan Muslim no. 1007 dan 1009)

MasyaAllah, agama apakah yang menceritakan dengan sangat detail bahawa membuang duri di jalanan itu sedekah?

Agama apa?

Sungguh teliti dan details Allah menerangkan tentang sedekah di dalam hadis di atas. 

Beruntunglah kita menjadi orang muslim, kerana di atas setiap satu kebaikan yang kita lakukan, akan mendapat pahala di atasnya, walaupun perlakuan itu adalah perbuatan kemanusiaan dan turut dilakukan oleh orang di dalam agama lain, namun tidak disediakan pahala untuk mereka.

Banyaknya jalan untuk membuat kebaikan daripada hadis di atas.

Hanya syahadah yang menjadi perbezaan antara keduanya.

MasyaAllah! 

MAKNA SEDEKAH

Apakah sedekah yang dimaksudkan di sini? sedekah wang seperti yang biasa kita lakukan?

Tidak!

Umumnya, sedekah bermaksud menginfa'kan harta di jalan Allah SWT. Namun makna sedekah di dalam hadis ini , bukan semata-mata sedekah yang kita fahami sebelum ini.

Sedekah berasal daripada perkataan sadiq. di dalam bahasa Arab yang bermaksud benar. Benar di sini bermaksud selari perbuatan, ucapan dengan keyakinan.

Iaitu, apabila tangan menghulur, ianya lahir dari pergerakan tangan dan ketulusan hati. 

Jika anda perasan, sebenarnya ada perkaitan di antara rakan karib  dan sedekah di dalam bahasa arab?

Rakan karib = صديق.
Sedekah = صدقة

Dia rakan karib saya = هو صديقي

Rakan karib, merupakan rakan yang dekat dengan saya. Sedekah juga boleh dimaksudkan dengan segala kebaikan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah.


Hadits ini memberikan gambaran luas mengenai makna sedekah. Kerana digambarkan bahawa sedekah mencakupi segenap sendi kehidupan manusia. Bukan hanya terbatas pada makna menginfakkan wang di jalan Allah, memberikan nafkah pada fakir miskin atau hal-hal sejenisnya sahaja. Namun lebih dari itu!

 Sedekah mencakupi segala macam dzikir (tasbih, tahmid dan tahlil), amar ma’ruf nahi mungkar, Setiap pergerakan sendi-sendi kita untuk menunaikan kewajipan kita dikira sedekah, bahkan setiap pergerakan kita menuju ke kuliah (dengan niat yang benar) itu juga dikira sebagai sedekah!!


 Oleh karena itulah, Rasulullah saw. secara tersirat meminta kepada para sahabatnya untuk pandai-pandai memanfaatkan segala aktiviti kehidupan mereka agar senantiasa berpaksikan ibadah.


***

Bersedekah adalah untuk mendapat ganjaran daripada Allah,dan bukannya untuk menuntut balasan daripada manusia. 

Maka sedekah boleh didapati dengan pelbagai jalan, sama ada sedekah harta atau melalui jalan-jalan kebaikan yang lain.

1. Sedekah kepada diri sendiri

Saya sejujurnya sangat tertarik dengan ungkapan pertama, di mana setiap ruas sendi di dalam badan kita adalah sedekah.


"Setiap ruas (anggota) badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari"


Agak-agak untuk satu tubuh badan yang sempurna, berapa buah tulang yang terdapat padanya?

100? 250? 300?


Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda :

 “ Bagi seseorang manusia ada sebanyak 360 tulang (atau 336 anggota) yang menjadi sedekah atasnya setiap hari. Mereka bertanya: Bagaimana orang yang tidak mampu? Rasulullah berkata: Ia menyuruh dengan kebaikan dan melarang kemungkaran. Mereka bertanya: Bagaimana orang yang tiada upaya? Rasulullah berkata: Ia boleh membuang tulang di jalan. Mereka bertanya: Bagaimana orang yang tiada kuasa? Rasulullah berkata: hendaklah menolong orang yang dhaif (lemah). Mereka bertanya: Bagaimana orang yang tiada kuasa juga? Rasulullah berkata: hendaklah dia berhenti dari melakukan kejahatan terhadap manusia”

Ini bermaksud setiap ruas anggota badan manusia akan menghasilkan sedekah bagi seseorang manusia tiap-tiap hari, kalau dia mengetahui cara sedekahnya. 

Hatta menahan kejahatannya daripada terkena pada orang lain juga sudah dikira sebagai sedekah.

Jika di darabkan dengan bilangan hari yang telah seseorang hidup di muka bumi ini?

 Anda boleh bayangkan berapa billion pahala yang sudah tertulis di dalam buku amalannya? 

Ini tidak termasuk mana-mana pahala tambahan yang digandakan jika berada di bulan ramadhan misalnya.

Tapi dengan satu syarat, anda tahu cara untuk menggunakan anggota badan anda ke jalan yang sebenarnya.

Syukur itu apabila menggunakan segala nikmat yang telah diberikan ke jalan yang sepatutnya.

Namun jika angota badan digunakan ke arah yang sebaliknya, mencuri, berzina, curi-curi usha mamat hensem, berjalan ke tempat-tempat maksiat dll, anda boleh tolong darabkan berapa pula dosa-dosa yang terkumpul daripada setiap pergerakan sendi-sendi itu?

“ Syukur itu meninggalkan segala maksiat” ini yang dikatakan oleh ulama salaf.

T____T *Gulp!*



Ketika anda bangun di setiap pagi, lantas menunaikan kewajipan solat subuh, membaca Al-quran, mandi, menyediakan dan makan sarapan lalu pergi ke kuliah/ pejabat~

Adakah anda terfikir, sebenarnya...

Berapakah pahala yang dapat anda kumpulkan di dalam setiap pergerakan sendi-sendi anda ketika anda melawan nafsu anda serta segera bangkit untuk menunaikan solat subuh di setiap pagi?

Boleh anda bayangkan berapa pahala yang dapat dikutip dalam setiap pergerakan anda ke kuliah/ pejabat/ masjid?

Boleh anda bayangkan betapa kayanya anda dengan pahala-pahala yang terkumpul dalam  setiap pergerakan ketika anda menunaikan solat 2 rakaat,  4 rakaat? ataupun solat terawih 20 rakaat?

Huyooh!! Kaya bangat!!

MasyaAllah!! Pemurah sungguh Allah kepada hamba-hambaNya.

Kemudian, cuba anda lihat tapak tangan kanan anda, ada berapakah ruas jari pada tapak tangan tersebut?


Bagi satu tapak tangan yang sempurna, insyaAllah akan terdapat 14 ruas padanya.

Cuba anda bayangkan Allah mengambil 1 atau 2 ruas daripada jari anda? Agak-agaknya bolehkah anda meneruskan kehidupan dengan kecacatan tersebut?

MasyaAllah! Selain ketaatan yang dituntut daripada hadis ini, ia juga menuntut untuk kita mensyukuri segala nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

MasyaAllah!


 “Dan pada diri kamu tidakkah kamu perhatikan”(az-Zariyat: 21).


Ini kita baru melihat kepada 1 tapak tangan, jika dikira kembali, berapa ruas sendi yang berada pada seluruh anggota badan kita?


Daripada Abu Dzar RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa sejak pagi-pagi lagi tiap-tiap anggota salah seorang kamu menjadi sedekah. 
Maka tiap-tiap tasbih itu adalah sedekah, tiap-tiap tahmid itu adalah sedekah, 
tiap-tiap tahlil itu adalah sedekah, tiap-tiap takbir itu adalah sedekah, 
menyuruh kebaikan itu adalah sedekah, mencegah kemungkaran itu sedekah, 
dan memadai dari yang demikian itu oleh solat sunat dhuha 2 rakaat yang didirikan”

MasyaAllah!

Oleh itu, perlu ingat bahawa setiap tulang/sendi ada fungsinya dan setiap nikmat adalah perkara yang akan dipersoalkan dan dituntut untuk mensyukuri pada hari Kiamat.

“Kemudian demi sungguhnya, kamu akan dipersoalkan pada hari tersebut (Kiamat) tentang segala nikmat (yang Allah berikan) (at-Takatsur: 8)

Susunan jasad (kullu sulami) tulang belulang manusia merupakan nikmat terbesar dan juga merupakan tanda-tanda kebesaran dan kehebatan Allah ta’ala. Subhanallah!

***

2. Sedekah kepada orang lain

Iaitu sedekah yang dilakukan dengan cara mengerjakan kebaikan atau ihsan kepada orang lain yang memberikan manfaat kepada orang lain, dan memberikan pahala itu kepada dirinya.

Contohnya seperti di dalam hadis di atas:

1.  Mendamaikan di antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah.

2. Menahan tangan dan lisan untuk tidak menyakiti orang lain, justeru seharusnya digunakan untuk menunaikan hak-hak setiap muslim.

3. Tolong-menolong - membantu seseorang menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, 

4. mengucapkan kalimat yang baik, 

5. berjalan menuju masjid/ solat 

6. menyingkirkan penghalang dari jalan.


PESANAN BUAT DAIE

Bagi seseorang daie, anda haruslah pandai beribadah dengan SMART!

Ini bermakna da’ie haruslah sentiasa memiliki action plan untuk dakwah dan tarbiyah yang montij ( berkesan), setiap kali bangun daripada tidur kerana memberikan sedekah itu adalah tuntutan harian.

Sedangkan masa yang ada melebihi tanggungjawab yang ada!

Kita hendaklah berfikir akan sumbangan yang boleh kita berikan kepada ummah luas ruang lingkupnya, dari tulang kepala hingga ke tulang kaki.

Da’ie adalah opportunist – melihat apa yang ada di sekitar sebagai opportunity untuk melakukan kebajikan dan dakwah (cth orang yang mempunyai kemaslahatan dll)

dan dalam sibuk membuat kebaikan, perlu diketahui bahawa berusaha memperbaiki diri-sendiri pun adalah sedekah. 

“Sekiranya dia tidak mampu melakukan (kebaikan), dia hendaklah menegah dirinya daripada melakukan kejahatan. Sesungguhnya itu adalah sedekah baginya.” 
(HR Bukhari dan Muslim)

Maka, jika tuntutan kerjaya/ pelajaran menambat masa-masa harian anda, cubalah untuk sentiasa menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam  dan esok hari adalah lebih baik dari hari ini.

Seperti kata-kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid di dalam buku Muntalaq,

" Apabila seorang muslim yang merdeka dan bijak menguatkan keperibadiannya, dan ia pula seorang da’i maka dia akan dapat menarik sesiapa yang dikehendakinya untuk beredar di sekitar orbitnya.

Iqbal telah berkata:
Bumi telah meningkatkan kekuatan gravitinya lalu,
bulan pun beredar di sekitarnya tanpa henti

Oleh kerana bumi mempunyai daya graviti, ia dapat memaksa bulan agar terikat dan beredar di sekitarnya sehingga bulan itu tidak pernah terfikir untuk lari dari bumi.

Demikian jugalah manusia, mereka akan pasti terkumpul dikeliling dakwah apabila da’i meningkatkan kekuatannya. Manusia itu akan berlegar di sekeliling dakwah dan merasai ikatan mereka dengan dakwah suatu kemestian.

Engkaulah wahai da’ie yang menentukan ini semua!

Mari beraksi!



Rujukan: 

Hadis 40 dan syarahan
nota liqa usrah minggu lepas
http://dakwah.info/quran-hadis/hadis-26-mendamaikan-orang-yang-bertikai/

p/s: 20 days to ramadhan. Dah mula panaskan enjin masing-masing? :)


MHZ,
11.00pm
Beyt SQ, Kaherah

No comments:

Post a Comment