Pages

Monday, June 29, 2015

[MAJALAH JOM ISU 25]: Tika dunia masih memanggilmu..





“ Cuba lihat di sana, di atas bukit Uhud itulah tentera berkuda Islam bertahan. Mereka berperang dengan sangat gagah. Bertempur sekuat hati, seolah-olah syurga itu sudah berada di depan mata. Alhamdulillah, kemenangan pertama berpihak kepada umat Islam ketika itu. Kaum musyrikin bertempiaran lari dan meninggalkan sahaja harta-harta mereka.

Tetapi ada sebilangan kaum muslimin yang matanya dikaburi harta. Mereka berfikir bahawa arahan Rasulullah untuk tidak berganjak dari bukit itu telah tamat dengan kemenangan tadi. Tanpa menghiraukan larangan Rasulullah, mereka meluru ke arah harta yang ditinggalkan oleh musuh. Melihat kepada situasi itu, Khalid Al-Walid yang ketika ini mengepalai tentera berkuda musyrikin berpatah kembali dan menyerang hendap mereka yang sedang leka ketika itu.

Inilah pengajaran besar yang perlu kita pelajari dari peristiwa Perang Uhud ini,” jelas pemandu pelancongku menerangkan serba ringkas sebuah peristiwa dari lipatan sejarah yang pernah berlaku di tempat aku berdiri sekarang.

Alhamdulilah, Allah murahkan rezekiku untuk dapat menjadi tetamu Allah, dapat menyertai umrah pada musim panas kali ini. Sudah lama aku mengimpikan untuk menjejakkan kami di bumi ini. Lebih –lebih lagi selepas menyertai gerabak dakwah dan tarbiah ini, semangatku meluap-luap untuk melihat sendiri bumi tarbiah yang banyak mengajar erti aqidah sebenar di dada kaum muhajirin Mekah.

Mari kita hayati sirah perjuangan Nabi. Boleh jadi debu yang berterbangan di sekeliling kita ini dan melekap di pipi dan baju kita ini adalah debu yang sama menjadi saksi peperangan Uhud suatu ketika dulu,” sambungnya lagi.

Argh. Tika ini perasaanku bercampur baur. Mataku ditala ke hadapan. Terbentang gah dihadapanku barisan bukit Uhud yang akan menjadi bukit di syurga kelak.

“ Demi kuda perang yang berlari kencang termengah-mengah. Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan kuku kakinya). Dan kuda yang menyerang (dengan tiba-tiba) pada waktu pagi. Sehingga menerbangkan debu. Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh” (Al-Aadiyat 1-5)

Ayat-ayat ini bermain di fikiranku. Terbayang di fikiranku pertempuran yang sengit itu. Ketangkasan kuda perang yang berlari laju sehingga menerbangkan debu-debu ke langit, dan gambaran betapa terkejutnya musuh ketika diserang hendap secara tiba-tiba( di subuh hari).

Hebatnya Allah yang menggambarkan setiap inci dengan jelas di dalam surah ini, malah bersumpah dengan kuda perang  untuk menarik minat arab quraisyh supaya mendengarkan apa berita penting yang ingin dibawa oleh Rasulullah saw.

Tetapi manusia tetap tamak dan tidak bersyukur

“ Manusia akan tua dan beruban. Namun bersamanya dua hal yang tetap muda. Angan-angan dan cinta dunia”

Ada dua pemburu  yang tidak akan kenyang. Pemburu ilmu dan pemburu harta”

Gulp.

Benarlah sabda Rasulullah yang Maha Agung.  Allah Taala selaku Pencipta manusia sangat mengetahui fitrah manusia yang cintakan harta berlebihan sehingga  sanggup ingkar kepada tuhannya.

Manusia fitrahnya akan terus mengejar dunia dan harta sampai satu saat dia akan melupakan tanggungjawab sebenarnya di muka bumi ini. Mari kita ambil pelajaran dari kisah Perang Uhud di atas, hanya kerana tamakkan harta rampasan perang, akhirnya ia terpaksa mengorbankan sejumlah nyawa yang syahid, termasuk sahabat-sahabat yang menjadi benteng kepada Rasulullah selama ini, Hamzah dan Musab bin Umair.

Manusia apabila matanya dikaburi dengan harta, dia akan melupakan halal dan haram. Semua dilanggarnya hanya untuk menghalalkan niatnya.

Tidak salah kita menjadi pemburu ilmu, tetapi kadang-kala bila bertembungnya antara panggilan Allah dan panggilan belajar, panggilan mana satukah yang kita sahuti?

Ramai antara pelajar yang sanggup stay up (berjaga malam) semata-mata untuk belajar, lebih-lebih lagi apabila peperiksaan sudah hampir, atau apabila assignment sebeban perlu dihantar segera. Tetapi berapa ramai pelajar yang sanggup meluangkan masa malamnya untuk bermunajat kerana Allah?

Atau ada juga kes yang sanggup bangun awal untuk study dan qiamullail, tetapi tertidur semula sehingga subuh gajah menyambutnya apabila dia membuka mata. Haish. Ini sudah terbalik maa.

KepadaNya kelak kita akan dikembalikan

Manusia, atau dalam bahasa arabnya “ Al-Insan” yang berasal daripada perkataan nasi yang bermakna lupa. Manusia sentiasa akan melupakan asal kejadiannya, lebih-lebih lagi tika kita terlupa bahawa dunia ini hanya sementara dan kelak kita akan dikembalikan kepadaNya.

“ Maka tidakkah dia mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan. Dan apa yang tersimpan di dada dibongkarkan? Sungguh, Tuhan mereka pada hari itu Maha Teliti terhadap keadaan mereka” (Al-Aadiyat: 9-11)

Apa yang terbuku di dalam hati kelak akan dibongkarkan. Tiada apa-apa yang boleh dirahsiakan. Malah anggota badan kita, tangan, kaki, jari, telinga kita akan menjadi saksi atas segala perbuatan kita di muka bumi ini.

Sayang seribu kali sayang, jika ketika saat itu, hanya amal buruk kita sahaja yang berbicara. Kemana semua amal baik kita sepanjang kita hidup di muka bumi ini?

Mari kita pecutkan kuda kita untuk memerangi nafsu kita. Kerana nafsu ini memang sifatnya tidak pernah puas dengan apa yang ada. Belajar mensyukuri apa yang telah diberikan Allah kepada kita. 

 Tidak diketahui bila datangnya Hari Kiamat, kerana itu hendaklah kita mempercayai kebenarannya dan selalu bersiap-siaga agar tidak dikejutkan dengan kehadirannnya secara mendadak.

Kadang kala, apabila ayat-ayat Al-quran yang menceritakan tentang perihal ahli neraka dan gambarannya, kita selalu berasa selamat dan tidak terancam. Seolah-olah semua cerita itu tidak ditujukan kepada kita. Kita merasakan bahawa sesudah sahaja kita mengucap dua kalimah syahadah, syurga itu sudah menjadi jaminan kita dan kita sudah kebal dari api nerakanya!

T_____T

Bangkitkan wahai anak adam, Bertaubatlah, Allah sentiasa ternanti-nanti rintihanmu

Sebahagian orang memahami taubat hanya bagi pelaku dosa-dosa besar. Maka mereka menjadi culas dan malas bertaubat. 
“ kenapa harus bertaubat sedangkan saya tidak melakukan dosa-dosa besar?”

Sebenarnya, taubat merupakan tugas yang multi tingkatan. Ia merupakan kewajipan yang dilakukan pada semua tingkat keimanan. Ahli maksiat perlu bertaubat. Pelaku dosa besar harus bertaubat. Pelaku dosa kecil harus bertaubat. Bahkan, orang yang bertaubat juga perlu sentiasa memperbaharui taubatnya.

Boleh jadi kehidupan seharian kita kadang-kala menyimpang  dari niat yang asal. Maka lazimi istighfar dan perbaharui niat kita. Lebih-lebih lagi ketika kita sibuk menyiapkan kertas kerja yang perlu dihantar,  semasa menyiapkan bahan pengajaran untuk diajar di kuliah esok harinya, dan dalam  kita sibuk mengulangkaji pelajaran.

“ Semua yang menyibukkanmu, baik harta mahupun anakmu, sehingga kamu melupakan Allah, semua itu adalah bencana bagimu” (Abdurrahman Ad Darani)

Ayuh, mari kita perbaharui taubat kita. Boleh jadi selama ini sudah berpuluh kali kita sujud di tanah, mengangkatnya tetapi sebenarnya hati kita tidak sujud sama sekali. Tiada satu sujud pun yang sebenarnya. Tanyakan kepada hati, bilakah kali terakhir kita menangis keranaNya? Menangis kerana kebesaranNya? Menangis kerana takut kepadaNya? Kita memang memerlukan taubat atas kelalaian kita..



1 Feb 2014
Musyirah Hanan Zulkarnain
Pelajar perubatan,

Universiti Al-Azhar, Mesir